Monday, May 18, 2009

Ulama Dan Profesional saling Melengkapi

annasru menulis

Salam Obor Perjuangan,

Beberapa orang sahabat bertanya mengapa saya lama tidak menulis, sedang isu berkait dengan kepimpinan dalam PAS sekarang sedang memanas dan memuncak. Saya katakan malas!!. Menulis bukan boleh dipaksa-paksa. Sementelahan kalau saja untuk memanas suasana, meraih nama dan populariti. Lagi teruk kalau ada unsur-unsur laga-melaga, adu domba dan fitnah-menfitnah. Saya benar-benar tidak berminat.

Cukuplah sekadar berbincang-bincang bersama sahabat-sahabat. Itu pun pilih-pilih yang lebih bersifat terbuka dan boleh menerima tanpa ada sentimen, tanpa prasangka dan tidak terlalu rigid dengan pandangan sendiri, yang susah untuk berganjak. Soal mempertahankan prinsip tidak apa, tetapi berhujah tidak mengkaji, menghukum tanpa menyelidik dan diperkuda tanpa sedar, ini yang payahnya. Kalau pun mengkaji tidak mengatasi, menyelidik tetapi menyembunyi atau sedar tapi buat tak sedar. Ini lagilah payah.
Kita mendambakan ruang-ruang perbincangan yang dibuka dengan harapan jika ada ketegangan ia akan menjadi kendur, andai salah maklumat ia disahihkan, jika tersalah faham segera perbetulkan, jika ada yang teralpa kembali menjadi berada di alam nyata. Bahkan jika terlanjur mohon dimaafkan, terkhilaf mohon diampunkan…

Ulama dan professional timbul lagi. Dulu mengaji institusi agama dengan bukan agama. Antara belajar agama dan belajar sekular. Kadang-kadang naik biul, loya dan serabut bila istilah-istilah ini digegarkan semula.

Saya adalah antara kelompok yang menerima bahawa sesiapa pun boleh menerajui kepimpinan tertinggi jamaah sekiranya layak. Layak daripada segi syarak dan layak daripada sudut perlembagaan PAS. Tidak kira mereka itu seorang tok guru, tok lebai, cikgu, doktor, jurutera, petani, peniaga dan sebagainya.

Saya adalah generasi yang hidup ketika PAS semakin diterima dan menjadi parti dominan. Maknanya tidak banyak mengharungi pahit getir seperti generasi terdahulu. Saya juga boleh diibarat ulama mini, kalau tidak ulama mi celup, yang kalau ikut perlembangaan PAS tak menepati kreteria pun.

Sekali lagi, saya boleh menerima samada ulama atau profesional (mengambil istilah yang terpakai sekarang) memegang tampuk kepimpinan tertinggi hatta jawatan Presiden sekali pun!. Tapi syaratnya ia bukan melalui cara seperti berebutan. Juga bukan beradu, bukan melobi dan bukan tawar diri. Apalagi dengan cara politik kebendaan yang menjadi budaya parti nasionalis yang tunggu masa untuk dikuburkan itu.
Sucikanlah niat di hati….,
Maaf, saya bukan menunding sesiapa dan saya akur akan kewibawaan yang ada pada semua peringkat pimpinan yang ada sekarang. Mereka diamanahkan memikul pertanggungjawapan, bukan mengejar kedudukan dan kemuliaan oleh semua peringkat samada pimpinan mahu pun akar umbi.

Ketika Timbalan Presiden sekarang berdepan dengan Timbalan Presiden terdahulu saya sudah merasa kurang senang. Tetapi kerana arus ketika itu dikatakan ingin perubahan, saya kalah dan akur dengan arus itu! Ketika itu tidak timbul pun profesional vs agamawan. Semua menjulang, memuja-muji beliau yang sebelum ini terbukti hebat menjalan tugas kesetiausahaan.
Sebagaimana umum bersetuju bahawa perlu ada kombinasi mantap antara dua kelompok ini. Semuanya saling-melengkapi. Profesional dipandu sepenuhnya oleh ulama dalam segala tindakan. Manakala ulama dibantu oleh profesional dalam soal kemahiran dan pengkhususan yang bukan bidang agamawan.

Rasulullah bertemu seorang petani sedang membuat kacukan kepada benih tamar untuk menghasilkan tamar yang berkualiti. Taklimat yang diberikan hanya mengundang respon Nabi : Kamu lebih mengetahui (pakar) dalam urusan dunia kamu." Tugas Nabi ialah menerangkan bagaimana membezakan suatu produk halal atau haram. Ironisnya untuk meningkatkan daripada sudut kualiti hasil bukan kerja Nabi dan ulama.. Itu tugas tenaga mahir walau pun mungkin Nabi dan ulama boleh menggunakan kuasa mukjizat, keajaipan dan karamah. Tapi Islam tidak semata-mata bergantung kepada keramat, tetapi bergantung kepada keringat dan usaha mujahadah.

Sesungguhnya hanya ulama yang lebih memahami dunia ulama. Mewarisi kerja Nabi-nabi. Bergelumang dengan dunia hukum hakam. Memandu manusia ke jalan kebahagian. Kalaulah tidak kerana ulama, nescaya manusia hidup bagai ternakan.

Sejarah sistem khilafah menjustifikasikan bahawa sebahagian khilafah didominasi oleh bukan kalangan ulama. Mereka berjaya memerintah dengan bantuan dan sokongan ulama. Mereka akur dengan suara ulama. Bahkan sesetengah khalifah ketakutan setiap kali dimaklumkan utusan ulama akan berkunjung membawa mesej dari ulama.

Dalam PAS Majlis Syura Ulama adalah entiti tertinggi yang memandu dan mengawal jemaah. Autoriti majlis ini mengikut perlembagaan melangkaui membuat keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukkan oleh perlembagaan. Sila rujuk Perlembagaan PAS [Pindaan 2001] Fasal 5(c) (vii). Hakikatnya sekarang adakah semua orang boleh akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama? Ia sekaligus menolak dakwaan bahawa banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh anggota Majlis Syura, hatta Mursyidul Am sekarang tidak mendasari perlembagaan PAS.

Jangan hendaknya definasi ulama juga mula ingin ditransformasikan sehingga membuka peluang kepada sesiapa pun menjadi anggota Majlis Syura.
Wahai Ansorullah….,
Kembalikan kita mengadap musuh sebenar kita. Musuh agama, sekular, musuh yang menzalimi hukum Allah, musuh yang menolak pelaksanaan syariat. Musuh itu adalah Umno dan Barisan Nasional.

Akhirnya ditinggalkan beberapa persoalan. Adakah dalam sejarah seorang timbalan yang diagung-agung kehebatannya. Ingatkah anda bekas-bekas timbalan menteri besar di tempat anda. Tun Abdullah sewaktu menjadi Perdana Menteri disebut sebagai seorang PM yang lemah, tetapi adakah orang memuji kehebatan Najib? Kerana itu mengapa kita mengidam-idamkan jawatan yang hanya berstatus timbalan? Lainlah kalau anda bercita-cita untuk jadi Presiden.

Kalau ada teruskanlah!


No comments:

Followers

Total Pageviews

sejak 19 april 2009,anda pengunjung ke :

pemberitahuan

gambar yang diletakkan bersama artikel adalah rekaan semata mata..tiada kena mengena dengan hidup mahupun yang telah meningggal dunia..


Popular Posts