Friday, May 15, 2009

Minda Tokguru


KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar. Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa lalu.

Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?

Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan.

Dalam al Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak segumpal jatuh di atas kepala kita.

Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains.

Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?

Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini. Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan. Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya nonMuslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu.

Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ - pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.

Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.


sumber http://www.blogtokguru.com

No comments:

Followers

Total Pageviews

sejak 19 april 2009,anda pengunjung ke :

pemberitahuan

gambar yang diletakkan bersama artikel adalah rekaan semata mata..tiada kena mengena dengan hidup mahupun yang telah meningggal dunia..


Popular Posts