Tuesday, September 1, 2009

BEBERAPA KENYATAAN MENGHINA ISLAM OLEH PEMIMPIN UMNO DAN AKIBATNYA

Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:
i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:
“(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.”
Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.
ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.
Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:
“Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”
Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia bo;eh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.
Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.
Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?
Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?
Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.
Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.
Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.
Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.
Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.
Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?
Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

sumber:di sini

3 comments:

Zulkifli said...

Kalau gitu Nik Aziz pun hina Islam jugak. Ini semua persepsi. Kalau Niki aziz dan Hadi Awang mengatakan bahawa orang UMNO tidak akan masuk syurga. Umpama satu ucapan orang bermiripkan Tuhan. Kita tahu yang tersirat nak dikatakan oleh banyak ahli politik PAS yang sudah ego kononnya mereka ini berdarjat lebih tinggi dari yang lain. Bukankah ini juga menghina Islam. Bila cakap lain buat lain hanya semata2 untuk mendapt leverage politik bukan ini menghina Islam jugak.. Hadi Nik Aziz pada yg lain adalah musuh Islam numbur satu di seluruh dunia. Mungkin ini satu persepsi jugak.

keraspedal said...

TGNA kata org ni mwsuk neraka bukan persepsi beliau,tetapi melalui apa yg difirmankan Allah.
kan quran dah beritahu org yg macam mana boleh masuk syurga,dan org macam mana masuk neraka.
tu la peli,org suurh ngaji masa kecik,ponteng,suruh ke sekolah agama,pergi sekolah memandu,cam mana mana tahu agama.
sesungguhnya yg membezakan darjat seseorang di sisi Allah adalah melalui amal ibadatnya...dan gua percaya TGNA lebih dari org biasa...
yg menhina islam adalah org yg menolak hukum Allah walaupun dia tahu ia wajib..inilah org2 fasik..

Sinar Hairan Edisi Timur said...

Maaf saya kira saudara Zulkifli terlalu taksub dan bercakap melalui hidung tanpa menggunak otak yang diberikan tuhan. Nik Aziz bercakap berdasarkan nas dan surah berdasarkan tahap pembelajaran dan kefahaman dan selayaknya beliau mengeluarkan kenyataan sedimikian. Saudara bercakap atas dasar apa dengan menuduh Nik aziz dan Hadi sebagai musuh nombor satu Islam?

Saya sebenarnya sudah bertemu ramai dengan orang Umno yang semacan sdr Zul yang bercakap atas satu dasar untuk memisahkan antara politik dengan agama. Saudara perlu ada rasa hormat sedikit kepada ulamak. dalam umno ada apa? Ular dalam semak? Menghina Ulamak bererti menghina islam kerana Ulamak adalah pewaris Nabi.

Bukan taksub bukan ikut semberono kerana itulah yang saudara Zul akan katakan nanti. Saidara zul nak kami dengar ulamak Umno Islam Hadhari yang kreatif inovatif tetapi tidak efektif tu ke? malam sikitlah...

Menghina Islam bererti menghina Nabi dan tuhan. Jadi faham apa yang saudara Zul telah dan akan lakukan? Janganlah kerana pulut santan binasa. Janganlah kerana mulut saudara kelak masuk neraka. untuk orang macam Zul ni elok diucapkan selamat sajalah...

Followers

Total Pageviews

sejak 19 april 2009,anda pengunjung ke :

pemberitahuan

gambar yang diletakkan bersama artikel adalah rekaan semata mata..tiada kena mengena dengan hidup mahupun yang telah meningggal dunia..


Popular Posts