"KEBANYAKAN kartunis yang ada kini bukannya kartunis. Mereka hanyalah pelukis yang melakarkan idea seperti diarahkan pengarang," begitulah kata Zulkiflee bin S.M. Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali dengan nama Zunar, dalam satu wawancara.
Bambino, Gila-Gila dan reformasi
Dilahirkan pada 15 Mei 1962 di Bukit Junun, Gurun, Kedah, Zunar menghasilkan karya pertama beliau seawal 1973 dan tersiar di majalah Bambino. Atas galakan keluarga dan rakan-rakan, karyanya mula menjalar ke akhbar Mingguan Perdana dan majalah Kisah Cinta sebelum singgah di majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd.
Di Gila-Gila, kartun beliau dari masa ke semasa mula menarik perhatian pembaca dan juga penerbit kerana ideanya yang sinis. Kelebihan itu membolehkan karya beliau mendapat tempat di Cili Padi (majalah sisipan Gila-Gila) pada setiap keluaran di bawah judul Gebang-gebang.
Zunar kemudian melebarkan sayapnya ke Berita Harian dengan strip kartun berjudul Papa.
Namun, sebagai seorang yang tidak suka dikongkong apatah lagi dalam berkarya, Zunar cepat merasa bosan. Tambahan jika ada karya beliau yang cuba dibakulsampahkan oleh editor. Bagi beliau, kartunis seharusnya sama taraf dengan editor mahupun penulis, sepertimana yang berlaku di negara-negara barat!
Nama Zunar makin dikenali apabila beliau terlibat dengan gerakan reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Penglibatannya dalam gerakan tersebut membawa kepada penahanan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama beberapa orang lagi aktivis reformasi.
Selepas dibebaskan, Zunar kembali menghidupkan karier kartunnya, terutama yang menyentuh soal politik. Beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah buku kartun yang banyak menyentuh mengenai gerakan reformasi yang disertainya.
Sehingga kini beliau masih terus melukis, khususnya untuk akhbar-akhbar milik parti politik, antaranya Harakah.
Teknik kartun Zunar
Zunar banyak menggunakan pen dan berus dengan teknik garisan yang adventurous. Ada juga karyanya menggunakan stroke yang simple dengan teknik garisan yang agak ekonomik. Stroke awal beliau dan yang terkini memang jauh berbeza. Ini seiring dengan kematangan beliau dalam berkarya.
Teknik garisan dan hatching beliau dalam kartun berbentuk editorial dilihat condong kepada gaya kartunis-kartunis editorial yang terkenal seperti Mike Peters dan Frank Cammuso. Malah teknik garisan kedua-dua kartunis tersebut boleh dilihat dan ketara pada karya-karya beliau.
Idea dan gaya karya
Zunar merupakan seorang kartunis yang sentiasa memiliki idea tajam dengan humor berbentuk satira.
Karya beliau yang berjudul Ofis Korner merupakan sindiran tajamnya kepada kakitangan-kakitangan pejabat yang berbagai ragam, yang banyak membuang masa daripada menyiapkan kerja masing-masing.
Liza: Cinta Tak Semestinya Bersatu adalah mengenai karakter Kadok, yang lurus bendul dan bodoh-bodoh alang, tetapi menyukai Liza serta berusaha memikat hati dan cintanya.
Papa, yang tersiar di akhbar Berita Harian, memaparkan kehidupan dan nasib dua beranak yang daif di tengah-tengah kepesatan kota dan bangunan-bangunan pencakar langitnya. Ia lebih mewakili golongan-golongan yang tidak bernasib baik seperti setinggan.
Gebang-gebang
Zunar seorang yang suka bergurau dan akan membuat sesiapa yang berbual dengannya tidak kering gusi. Beliau juga gemar mendengar lagu.
Pernah bekerja sebagai juruteknik makmal, Zunar juga aktif dalam aktiviti lain yang menyentuh soal kartun. Beliau pernah memegang jawatan setiausaha bagi Persatuan Kartunis Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pekartun). Beliau juga sering mengadakan bengkel-bengkel kartun untuk mereka yang mahu dan baru menceburi bidang tersebut.
Zunar gemar membawa pen dan buku nota di dalam beg galasnya. Dari situ, beliau akan mencatat idea-idea yang baik dari sesiapa saja untuk diterjemahkan menjadi karikatur atau sebarang karya kartun.
Makanan kegemaran beliau ialah seafood dan air suam.
Zunar menggesa kartunis-kartunis yang ada supaya menjadi lebih agresif dan berani dalam berkarya.
"Sepatutnya semua kartunis boleh berkarya dengan bebas," begitulah harapan Zunar pada dunia kartun di Malaysia.
BIBLIOGRAFI
Gebang-gebang
Dari Kerana Mata
Lawan Tetap Lawan
Cartoons On Tun
ANTARA KARYA TERBAIK DAN MENARIK
Ofis Korner
Liza: Cinta Tak Semestinya Bersatu
Papa
Salah satu hasil karya Zunar.
ZUNAR ADA DI SINI